Sunday, 6 May 2012

Aku dan jiwa kemelayuanku

          Assalamualaikum, kali ini aku ingin bercerita berkenaan dengan jiwa melayu. Entah mengapa aku begitu sedih dan tertekan melihat gelagat bangsaku zaman sekarang. Masing-masing berlumba demi menegakkan sesuatu yang entahkan benar entahkan tidak. Peristiwa terbaru yang melibatkan bangsaku adalah perhimpunan bersih. Aku tak memihak pada mana-mana kumpulan. Tapi sedikit sebanyak ia membuatkan jiwa melayuku terguris melihat gelagat bangsaku sendiri melakukan sesuatu yang diluar jangkaan. Merosakkan harta benda awam, memukul dan dipukul, menjerit memaki hamun, apakah benar apa yang mereka perjuangkan itu? 
         Bangsaku, sedarlah yang negara kita sekarang diambang perpecahan. Bangsa kita semakin lemah dan sering menjadi bahan cacian dan cemuhan bangsa lain bukan sahaja di dalam Tanah Melayu aka Malaysia ini tetapi juga diluar negara. Mengalir air mata ini bila mengenangkan nasib bangsaku kini yang tidak sekuat dahulu. Ayuhlah bangsaku kuatkan iman, tetapkan pendirian, teguhkan barisan demi mengembalikan keagungan dan kegemilangan bangsa melayu yang berdaulat. Usahlah kalian bergaduh dan bertengkar lagi demi politik sempit ini. Bersatulah dibawah panji-panji islam insyaallah melayu akan berdaulat kembali..insyaallah..

Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap bersantun
Bila mengampu bijak beralas tangan

Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut
Biar mati adat
Jangan mati anak

Melayu di Tanah Semenanjung luas maknanya
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu,
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Aceh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,

Arab dan Pakistani semua Melayu,
Mamak dan Malbari serap ke Melayu,
Malah Mualaf bertakrif Melayu.

Dalam sejarahnya,
Melayu itu pengembara lautan,
Melorongkan jalur sejarah zaman,
Begitu luas daerah sempadan,
Sayangnya kini segala kehilangan.

Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Berkelahi cara Melayu, menikam dengan pantun,
Menyanggah dengan senyum,
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan

Berdamai cara Melayu indah sekali
Silatulrrahim hati yang murni
Madah diungkap sentiasa disahut
Tangan dihulur sentiasa bersambut
Luka pun tidaklah lagi berparut
Baiknya hati Melayu itu tiada terbandingan
Segala yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan
"Dagang lalu nasi ditanakkan,
Suami pulang lapar tak makan,
Kera di hutan disusukan,
Anak di pangkuan mati kebuluran."

Bagaimanakah Melayu
Di abad dua puluh Satu
Masihkah tunduk tersipu-sipu ?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan

Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara merdeka.

INSYAALLAH..